10 TIPS MENGAJAR ANAK MEMBACA DI RUMAH

0 Comments
Pertumbuhan saiz otak dari saat lahir sehingga ke usia enam tahun adalah sangat pesat. Mengikut kajian pakar otak, apabila sampai ke usia enam tahun, otak telah berkembang sehingga 90 peratus saiz penuh otak.

Walaupun saiz otak tidak melambangkan kecerdikan seseorang anak, namun kerana pertumbuhan otak sangat pesat ketika ini, segala rangsangan akan membina jaringan "dendrit" yang bertanggungjawab menyimpan semua informasi.

Salah satu cara untuk memberi rangsangan kepada otak anak ialah dengan membaca. Jom saya kongsikan 10 tips paling mudah untuk mengajar anak membaca di rumah.

1) Mula membaca pada peringkat awal. Jangan rasa terlalu awal untuk membaca kepada anak. Walau seorang bayi hanya dilahirkan beberapa minggu, bayi tetap akan memberikan reaksi kepada suara dan bunyi. Walaupun mereka tidak faham akan perkataan, ini dapat memberi mereka merasai kemesraan dan cinta daripada ibu bapa.

2) Cuba membaca bersama-sama setiap hari. Cara ini dapat menunjukkan kepada anak-anak betapa pentingnya buku dan tabiat membaca. Jadi, aturkan masa yang istimewa setiap hari. Ramai ibu bapa memberitahu masa yang paling bagus adalah sebelum waktu tidur petang dan malam. Di waktu itu, anak-anak dapat memberikan tumpuan yang baik.

3) Jangan bimbang sekiranya anak anda rasa bosan. Secara realistiknya, setiap kanak-kanak tidak boleh duduk diam lebih daripada 5-10 minit. Jadi, jangan khuatir sekiranya mereka tidak dapat memberi tumpuan. Anda boleh bersambung kemudian sahaja.

4) Semasa membaca cerita kepada anak, gunakanlah nada suara yang berlainan untuk setiap watak yang berlainan. Gunakanlah cara yang merangsangkan supaya suasana membaca dapat dihidupkan.

5) Membaca di tempat yang lain selain daripada bilik tidur. Cubalah membaca di dalam kereta, di taman, atau di kawasan luar rumah. Selain daripada itu, anda mungkin boleh mencari tempat rahsia di sekitar rumah sebagai tempat membaca.

6) Beri anak anda memegang buku, menyentuh gambar dan mengalihkan muka surat apabila anda membaca. Kanak-kanak yang terlallu kecil mungkin memegang buku secara terbalik tetapi ia adalah elok selagi mereka melibatkan diri dalam buku dan membaca.

7) Puji anak anda atas usaha membacanya. Walaupun seorang budak yang kecil, dia boleh berpura-pura sedang membaca. Berikanlah galakan dan pujian kepada mereka.

8) Biar anak anda memilih buku yang mereka suka. Cara yang paling bagus untuk mengetahui buku kanak-kanak yang bagus adalah berpandukan reaksi anak. Secara langsung atau tidak langsung anak anda akan menunjukkan buku-buku yang mereka minat membaca.

9) Sediakan satu tempat khas di bilik anak anda untuk ruang membaca. Biarkan mereka merasai suasana membaca di bilik mereka sendiri.

10) Gunakan cara yang lebih fleksibel. Membaca sebuha buku tidak semestinya bermula dari mukasurat pertama ke muka surat terakhir. Sesetengah kanak-kanak juga suka membaca atau mendengar maklumat secara berulang kali.



Ingatlah wahai ibu dan bapa sekalian, enam tahun pertama dalam hidup seseorang anak itu adalah usia yang penting atau kritikal. Berikanlah rangsangan yang secukupnya kepada otak mereka supaya membolehkan anak-anak membesar dengan sihat dari segi fizikal dan mental.



You may also like

No comments: